Kisah yang sering kali kita dengar apabila membicarakan tentang keikhlasan yang ditulis oleh Imam Al-Ghazali dalam kitabnya "Ihya' Ulumuddin" berkaitan kisah seorang lelaki soleh yang mendapat berita tentang sebatang pokok yang menjadi sembahan orang ramai disebuah kampung.
Dengan semangat Amar Makruf Nahi Mungkar, lelaki itu mengambil sebilah kapak dan pergi untuk menebang pokok tersebut..
Di Pertengahan jalan beliau bertemu dengan syaitan yang menyamar sebagai seorang lelaki. Syaitan itu menghalangnya dan berlakulah pergelutan. Lelaki soleh itu dengan mudah mengalahkan syaitan. Syaitan itu tidak berpuas hati lalu pergelutan terus berlaku yang akhirnya tetap dimenangi lelaki soleh tersebut.
Akhirnya syaitan mengaku kalah, tetapi ia menukar strategi. Ia membuat satu tawaran kepada lelaki soleh itu. Syaitan akan memberikan satu dinar emas pada setiap pagi sekiranya lelaki itu membatalkan niatnya untuk menebang pokok sembahan itu. Lelaki itu termakan tawaran syaitan, lalu pulang ke rumah.
Esok pagi, didapatinya ada sekeping dinar emas dibawah bantal dan ia mengakui syaitan tersebut telah menunaikan janjinya. Begitulah seterusnya pada hari kedua. Namun pada hari ketiga, dinar tersebut tiada lagi. Ternyata syaitan itu telah mula menipu. Berang dengan perlakuan syaitan tersebut, lelaki itu mencapai kapaknya untuk meneruskan semula rancangan awalnya untuk menebang pokok sembahan.
Dipertengahan jalan, syaitan menyamar itu datang menghalang lagi dan berlakulah pergelutan. Kali ini lelaki soleh itu kalah. Dia cuba bangun sekali lagi namun tetap kalah malah dicubanya kali ketiga tetapi tetap kalah.
Ketika itu dia bertanya kenapa dia kalah dan adakah lawannya sudah semakin gagah? Syaitan menjawab "Engkau kalah kerana kali ini niatmu untuk mencegah kemungkaran bukan lagi kerana Allah, tetapi kerana dinar emas."
Ya, lelaki itu mengakui bahawa dirinya menjadi lemah kerana niatnya kali ini sudah tidak ikhlas. terbuktilah bahawa keikhlasan itu merupakan suatu kekuatan dan kehormatan.
Cerita ini boleh lihat dalam realiti kehidupan kita. Sebagai contoh kisah benar yang berlaku ialah kisah 2 orang sahabat yang baru bekerja sebagai jurutera dan mereka ini masih muda dan bersemangat. Mereka ditugaskan melakukan pengawasan dan membuat laporan tentang pembinaan satu projek jalan raya oleh sebuah syariat yang diamanahkan...
Mereka terkejut ketika hendak keluar dari lokasi tersebut, didalam bakul motorsikal (kerana masih belum mampu pakai kereta) masing-masing terdapat satu sampul surat berisi wang. Bukan sedikit tetapi banyak dan rupan-rupanya wang itu "hadiah" daripada syarikat pembinaan tersebut.
Apabila ditanya mengapa dan untuk apa hadiah itu diberikan, wakil syarikat itu berkata "You muda lagi, baru kerja, tentu mahu pakai duit. Ini hadiah perkenalan daripada kami. Kita akan bekerjasama nanti."
Keduanya pulang kerumah masing-masing dengan perasaan yang pelbagai. Seorang jurutera muda itu sedar hakikat "hadiah" itu sebenarnya rasuah. Walaupun ia kesempitan belanja(kebetulan ibunya pula sakit ketika itu), dia tetap tidak sedap hati menerima pemberian tersebut.
Esoknya dilokasi pembinaan, dia menyerahkan semula wang tersebut.
"Apa you tak mau pakai wangkah?"
"Tak apalah."
"You tak mau bekerjasama?"
"Saya akan beri kerjasama. Tanpa hadiah ini, lebih mudah kita bekerjasama. You tak segan dengan saya, saya tak segan dengan you" kata jurutera tersebut.
Namun malangnya, seorang lagi rakan jurutera tersebut menerima hadiah tersebut atas alasan sebagai "hadiah" bukan rasuah katanya..
memang nampak bagus hujah rakannya tersebut yang menganggap itu sebagai hadiah namun perlu di ingat syaitan itu memang kreatif, macam-macam tipu dayanya kepada manusia.."
Sebagai kesimpulan kepada kesudahan cerita dua orang jururtera tersebut ialah, Jurutera yang amanah dan tidak menerima wang "hadiah" tersebut kini "Dia dihormati, disegani dan kadangkala ditakuti. Ke mana sahaja dia membuat pengawasan, kontraktor yang diamanahkan akan memberi kerjasama. Sekarang ia telah jadi Ir. dan ketua jurutera!"
manakala cerita seorang rakannya yang menerima wang tersebut agak menyedihkan. Wakil syarikat yang memberinya dahulu buat tidak tahu sahaja. Kehadirannya tidak diperdulikan. Apalagi kata-kata dan tegurannya. Orang tahu dia dah ter'makan'. Dia tak lama di syarikat tempat dia bekerja. Khabarnya sering bertukar tempat kerja.