TULISAN ASAL PENULIS BLOG UNTUK BERKONGSI ILMU,SEBARANG KOMEN DIALU-ALUKAN
HUBUNGI | AGAMA | GAMAT ONLINE | LANGKAWI TOUR| IKLAN1-KOSONG | IKLAN2-KOSONG |

12 May, 2010

Polemik Hukuman Sebat Kartika

Pendahuluan

Ramadhan tahun 2009 disambut dengan kontroversi isu hukuman sebatan yang dijatuhkan ke atas Puan Kartika Sari Dewi bt. Sukarnor oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Kuantan, Pahang. Ini berikutan pengakuannya atas kesalahan minum minuman yang memabukkan dan keengganannya memfailkan rayuan bagi meringankan hukuman tersebut. Pelbagai respon positif dan negatif dari semua lapisan masyarakat mengenai isu ini termasuklah pemimpin tertinggi negara, ahli-ahli politik, badan-badan professional, ahli-ahli akademik dan orang perseorangan. Laporan khas ini akan mengimbas secara eksklusif coretan peristiwa yang timbul berkisar pelaksanaan hukuman sebat terhadap model sambilan berkenaan.

Perjalanan Kes Kartika Sari Dewi Sukarno

11hb Julai 2008 - Lebih kurang jam 11.40 malam, satu operasi bersepadu dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertempat di Cherating Bay Launge, Hotel Legend bagi menguatkuasakan kesalahan ‘minum minuman yang memabukkan’. Hasil dari operasi tersebut, 5 orang telah berjaya diberkas termasuklah seorang model sambilan berusia 31 tahun bagi tujuan siasatan lanjut dan diambil sampel air kencing untuk ujian makmal sebelum dilepaskan dengan jaminan Pegawai Penguatkuasa Agama.

15hb Julai 2008 - Kartika dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah dan dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM1,000.00 bersama seorang penjamin.

31hb Julai 2008 - Keputusan analisis sampel air kencing milik Kartika dari Jabatan Kimia Malaysia, Cawangan Negeri Pahang yang diterima oleh Pegawai Penguatkuasa Agama menunjukkan terdapat 22 mg etil alkohol dalam 100 mililIter sampel berkenaan.

1hb Disember 2008 – Sebutan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Y.A Dato’ Haji Abdul Rahman Bin Yunus. Pengakuan salah Kartika di atas pertuduhan di bawah seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan) 1987 telah direkodkan. Yang Arif Tuan Hakim telah menetapkan 12hb Januari 2009 sebagai tarikh pengumuman penghakiman.

12hb Januari 2009 - Kartika tidak hadir dan diwakili oleh peguambela Mohd Zuki b. Che Mat Ghani. Beliau telah memohon penangguhan bagi membolehkan hujahan bertulis ke atas rayuan pengurangan hukuman difailkan. Mahkamah membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan kes disebut semula pada 4hb Mei 2009.

4hb Mei 2009 – Kartika hadir bersama peguambelanya. Timbalan Pendakwa Syarie telah memohon penangguhan untuk membolehkan pihak pendakwaan meneliti hujahan bertulis yang telah difailkan dan seterusnya memfailkan hujahan balas iaitu cadangan hukuman pendakwa. Permohonan tersebut dibenarkan dan kes berkenaan ditetapkan bagi sebutan semula pada 20hb Julai 2009 untuk keputusan penghakiman.

20hb Julai 2009 - Yang Arif Dato’ Haji Abdul Rahman Bin Yunus menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000.00 atau 3 tahun penjara (jika gagal bayar denda) dan disebat 6 kali sebatan.

21hb Julai 2009 - Kartika telah membayar denda sebanyak RM5,000.00 di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan tanpa memfailkan rayuan atas keputusan Mahkamah tersebut.

3hb Ogos 2009 - Tarikh akhir bagi pihak Kartika dan/atau pihak pendakwaan memfailkan rayuan. Namun tiada sebarang rayuan dari kedua-dua pihak difailkan bagi mengenepikan hukuman berkenaan.

18hb Ogos 2009 - Pihak pendakwaan mengemukakan tiga permohonan kepada Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, iaitu:
          a) Permohonan di bawah Seksyen 125 (4) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Pahang) 2002 untuk menahan Kartika di Penjara
              Wanita Kajang bagi melaksanakan hukuman sebat.
          b) Permohonan menguatkuasakan perlaksanaan hukuman sebat sebanyak 6 kali secara syariah di Penjara Wanita Kajang.
          c) Permohonan melepaskan Kartika dari Penjara Wanita Kajang setelah hukuman 6 kali sebatan dilaksanakan.

19hb Ogos 2009 - Mahkamah membenarkan permohonan tersebut dan mengeluarkan waran pemenjaraan selama 7 hari bermula pada 24hb Ogos 2009 untuk tujuan pelaksanaan hukuman sebat.

24hb Ogos 2009 - Lebih kurang jam 8.45 pagi, Pegawai Penguatkuasa Agama, Jabatan Agama Islam Pahang pergi ke rumah Kartika untuk melaksanakan waran dan perintah Mahkamah tersebut. Namun Penjara Wanita Kajang telah menghubungi Pegawai Penguatkuasa Agama dan memaklumkan bahawa perintah berkenaan tidak dapat dilaksanakan berikutan arahan dari Jabatan Penjara Malaysia. Surat penangguhan perlaksanaan hukuman tersebut hanya diterima oleh Pegawai Penguatkuasa Agama pada pukul 4.00 petang.

26hb Ogos 2009 – Utusan Malaysia, Pegerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz menyatakan bahawa Ketua Hakim Syarie Negeri Pahang telah memberi jaminan kepada Peguam Negara untuk menyemak semula keputusan hukuman sebat ke atas Kartika selepas Aidilfitri ini. Penangguhan pelaksanaan hukuman sebat tersebut dibuat bagi menghormati kemuliaan Ramadhan.

30hb September 2009 – Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Saman berkata, Jabatan Penjara kini telah mempunyai Pegawai Sebat Rotan yang terlatih (sebatan Syariah) dan bersedia untuk melaksanakan tugas itu pada bila-bila masa. Hukuman tersebut akan dilaksanakan sebaik sahaja Jabatan Penjara memperolehi perintah daripada Mahkamah Syariah.

02hb Oktober 2009 – The Star, Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah Negeri Pahang, Mohd Azhari Abdul Rahman memberitahu bahawa Yang Amat Arif Abdul Hamid Abdul Rahman, Ketua Hakim Syarie Negeri Pahang telah memutuskan bahawa hukuman denda dan sebatan ke atas Kartika seperti yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan dikekalkan. Mohd Azhari juga memohon agar keputusan yang dibuat dihormati dan bersabar menunggu tarikh pelaksanaan hukuman oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan.

Seminar Hukuman Sebat Jenayah Syariah

Bagi JAKIM, JKSM, Jabatan Penjara Malaysia, Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan ahli-ahli akedemik dari universiti tempatan mahupun institut kefahaman Islam, isu sebat ini bukanlah sesuatu yang baru ataupun mengejutkan. Ini kerana satu seminar Hukuman Sebat Jenayah Syariah anjuran Jakim telah diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Seminar yang berlangsung pada 23hb April 2009 itu dihadiri oleh semua Ketua Hakim Syarie negeri-negeri, wakil dari Jabatan Penjara, wakil dari unversiti-universiti tempatan, Institut kefahaman Islam dan wakil dari Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Objektif seminar ini bertujuan mengetengahkan semula hukuman sebat bagi kesalahan jenayah syariah yang pada masa ini agak jarang dilaksanakan walaupun terdapat peruntukkan di dalam undang-undang jenayah syariah bagi kesalahan tertentu. Keadaan ini telah mewujudkan persoalan di kalangan orang ramai termasuklah pengamal undang-undang mengenai kesesuaian hukuman ini dikekalkan di bawah undang-undang Syariah atau seharusnya dimansuhkan.

Persoalan ini terjawab apabila isu hukuman sebat ke atas Kartika timbul. Ternyata ia masih lagi relevan dalam konteks undang-undang jenayah syariah. Namun, pemahaman harus diberikan kepada semua golongan masyarakat agar ianya tidak keliru. Ini kerana berdasarkan respon orang ramai terhadap isu ini, ternyata masih ramai yang tersalah anggap mengenai perbezaan antara sebat sivil dan sebat syariah dengan mengatakan kedua-duanya adalah sama. Lebih hangat apabila penerima hukuman tersebut adalah seorang wanita, yang mana di bawah undang-undang sivil wanita tidak boleh menerima hukuman sebatan.

Maka semakin banyak persatuan-persatuan bukan kerajaan mahupun individu individu tertentu memberikan komen negatif berkaitan pelaksanaannya. Perbezaan Di Antara Sebat Syariah dan Sebat Sivil

Sebat Syariah

1. Tempat perlaksanaan hukuman sebat.
 (a) Mana-mana tempat yang telah di arahkan oleh mahkamah untuk hukuman sebat dilaksanakan.(Seksyen 125(3)(c) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan)

2. Saksi.
 (a) Di hadapan sekurangkurangnya empat lelaki muslim. (Kaedah-kaedah Hukuman Sebat 1987 Negeri Kelantan)

3.Masa pelaksanaan hukuman sebat.
 (a) Sebatan hendaklah dikenakan dengan seberapa segera yang praktik.
 (b) Sekiranya rayuan dipohon sebatan hendaklah dikenakan dengan seberapa segera yang praktik selepas penerimaan perintah mahkamah rayuan yang mengesahkan hukuman tersebut.
(Seksyen 126(2) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan)

4. Rotan.
 (a) Dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil.
 (b) tiada ruas atau buku.
 (c) tidak melebihi 1.22 meter panjang;
 (d) tidak melebihi 1.25 cm tebal;
(Seksyen 125(2) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan)

5. Bahagian anggota yang disebat.
 (a) Sebatan boleh dikenakan di mana-mana bahagian anggota kecuali muka, kepala, perut, dada dan bahagian-bahagian sulit.
(Seksyen 125(3)(g) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan)

6. Cara pukulan sebat.
 (a) Sebatan dengan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi paras bahu
 (b) Tidak mengakibatkan luka pada kulit pesalah
 (c) Selepas mengenakan satu sebatan, alat sebatan itu diangkat ke atas dan tidak boleh menariknya.
(Seksyen 125(3)(e)dan;(f) Akta Tidak dinyatakan Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan)

7. Pakaian.
 (a) Memakai pakaian yang menutup aurat bagi lelaki dan wanita
(Seksyen 125(3)(h) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan)

8. Kedudukan pesalah ketika sebat dilaksanakan.
 (a) Lelaki – sebatan di kenakan dalam keadaan berdiri.
 (b) Perempuan – sebatan dikenakan dalam keadaan duduk.
(Seksyen 125(3)(i) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan)
 
9. Pemeriksaan oleh Pegawai Perubatan.
 (a) Pemeriksaan oleh Pegawai Perubatan Islam dilakukan sebelum hukuman dilaksanakan untuk memperakui bahawa kesihatan pesalah adalah dalam keadaan yang baik untuk menjalani hukuman.
(Seksyen 125(3)(a) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan)

10. Penangguhan hukuman sebat
 (a) Jika pesalah sedang hamil pelaksanaan hendaklah ditangguhkan sehingga 2 bulan selepas melahirkan.
 (b) Jika pesalah keguguran hendaklah ditangguhkan sehingga 2 bulan selepas keguguran.
(Seksyen 125(3)(b) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan)
 (c) Jika pesalah telah disahkan oleh Pegawai Perubatan tidak sihat untuk menjalani hukuman sebat, ianya hendaklah ditangguhkan sehingga disahkan sihat untuk menjalani hukuman.
(Seksyen 125(3)(a) & (j) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan)
 (d) Jika pesalah membuat rayuan, hukuman sebat akan ditangguhkan sehingga rayuan selesai.
(Seksyen 126(1) & (2) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan)

11.Klausa Pengecualian.
 (a) Tiada pengecualian sebatan ke atas mana-mana kategori pesalah syariah

12. Pegawai sebat.
 (a) Seorang Islam yang adil dan matang
(Seksyen 125(3)(d) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan)

13. Baki hukuman sebatan yang dihentikan.
 (a) Hukuman sebatan adalah ditangguhkan sekiranya Pegawai Perubatan Islam Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, sebatan itu hendaklah ditangguhkan sehingga Pegawai Perubatan itu memperakui bahawa pesalah itu sihat tubuhnya untuk menjalani baki hukuman itu.
(Seksyen 125(3)(j) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan)

Sebat Sivil
1. Tempat perlaksanaan hukuman sebat :
 (a) Tempat dan masa seperti yang di arahkan oleh Majistret. (Seksyen 286 Kanun Prosedur Jenayah)

2. Saksi.
 (a) Tidak dinyatakan.

3.Masa pelaksanaan hukuman sebat
 (a) Sebatan boleh dilaksanakan selepas tamat tempoh tujuh hari daripada hukuman itu sekiranya hukuman sebat adalah hukuman tambahan kepada penjara.
 (b) Sebatan boleh dilaksanakan selepas tamat tempoh empat belas hari sekiranya hukuman penjara sehingga empat belas hari dikenakan.
 (c) sekiranya rayuan atas hukuman dibuat, sebatan boleh dilaksanakan selepas perintah mahkamah rayuan menetapkan hukuman sebat itu.
(Seksyen 287 Kanun Prosedur Jenayah)

4. Rotan
 (a) Dewasa – tidak boleh lebih daripada 1.25 sentimeter garis pusat
 (b) Kanak-kanak – rotan yang halus dan ringan.
(Peraturan 131(5)(a)dan;(b) Peraturan- peraturan Penjara 2000)

5. Bahagian anggota yang disebat.
 (a) Hukuman sebat dikenakan pada punggung pesalah itu.
(Peraturan 131(4) Peraturan-peraturan Penjara 2000)

6. Cara pukulan sebat
 (a) Akta Tidak dinyatakan.

7. Pakaian.
 (a) Tidak memakai pakaian dan hanya ditutup dibahagian anggota sulit sahaja.

8. Kedudukan pesalah ketika sebat dilaksanakan.
 (a)  Di ikat di tripod dalam keadaan berdiri.

9. Pemeriksaan oleh Pegawai Perubatan.
 (a) Hukuman Sebat boleh dijalankan sekiranya Pegawai Perubatan memperakui bahawa pesalah adalah berkeadaan sihat.
(Seksyen 290(i) Kanun Prosedur Jenayah)

10. Penangguhan hukuman sebat.
 (a) Perempuan.
 (b) lelaki yang dijatuhkan hukuman mati.
 (c) lelaki yang diisytiharkan oleh mahkamah berumur lebih daripada 50 tahun
(Seksyen 289 Kanun Prosedur Jenayah)

11.Klausa Pengecualian.
(a) Perempuan
(b) lelaki yang dijatuhkan hukuman mati
(c) lelaki yang diisytiharkan oleh mahkamah berumur lebih daripada 50 tahun
(Seksyen 289 Kanun Prosedur Jenayah)

12. Pegawai sebat
 (a) Pegawai Sebat Rotan akan dilantik oleh Komisioner Jeneral Penjara

13. Baki hukuman sebatan yang dihentikan
 (a) Jika sebahagian atau keseluruhan hukuman sebat tidak dapat dilaksanakan atas sebab-sebab kesihatan, maka ia akan dirujuk kepada mahkamah.
(Seksyen 290 (2) dan 291(1) Kanun Prosedur Jenayah)

Berdasarkan jadual di atas, melainkan istilah ‘sebatan’ dan kata perbuatan yang digunakan adalah sama, tidak terdapat sebarang persamaan antara sebat syariah dan sebat sivil. Ini sangat jelas kerana motif dan tujuan asal hukuman sebat Syariah bukanlah untuk menyiksa penerima hukuman seperti sebat Sivil. Tetapi bertujuan sebagai pengajaran dan menjadi contoh teladan kepada masyarakat.

Perspektif Antarabangsa

Mungkin ramai yang tidak tahu mengenai keanggotaan Malaysia di dalam Convention on the Elimination of All Form of Discrimination Against Women (CEDAW) sejak tahun 1995. Di kenali sebagai ‘International Bill of Rights for Women’, konvensyen yang dianggotai oleh lebih dari 180 negara itu memberi penekanan terhadap perlindungan dan kesaksamaan hak wanita di dalam perundangan, ekonomi, sosial dan kemasyarakatan di dalam negara-negara anggotanya. Hingga kini, meskipun Malaysia masih belum membuat sebarang deklarasi ataupun masih lagi di peringkat “reservation” dalam menandatangani konvensyen ini, prinsip kesaksamaan hak wanita di dalam negara ini tetap tidak tergugat. Yang nyata, perundangan syariah di negara ini sama sekali tidak membelakangi prinsip tersebut apabila hukuman sebat syariah dijatuhkan ke atas Kartika adalah sama seperti kes-kes sebelumnya tanpa mengira jantina.
Dari perspektif domestik, tidak dinafikan terlalu banyak respon berbau negatif dari sesetengah pihak mahupun individu berkaitan isu ini. Namun, harus difahami dan diingati sebaiknya bahawa kekurangan ilmu pengetahuan di dalam sesuatu bidang menjadi faktor fitnah di dalam berkata-kata jika tidak kena pada tempatnya. Yang pasti, pihak yang bertanggungjawab telah memberi penjelasan sebaik mungkin mengenai isu ini dan telah melaksanakan perundangan Islam tanpa membelakangi prinsip-prinsip demokrasi dan Pelembagaan negara kita. Selebihnya adalah bergantung kepada penerimaan masyarakat di dalam pelaksanaan hukuman tersebut. Yang pasti, perbezaan pendapat sama sekali tidak menghalalkan perpecahan di dalam masyarakat dan menjejaskan perpaduan negara terutama apabila melibatkan pihak-pihak seagama dan sebangsa.

Di arena antarabangsa pula, negara kita menjadi perhatian dunia dan di pandang tinggi dari pelbagai aspek. Seorang pelancong dari Emiriyah Arab Bersatu yang ditemui penulis menyatakan dengan bangganya bahawa Malaysia merupakan negara yang dipandang tinggi oleh negara-negara Arab sebagai negara Islam terkehadapan. Keindahan alam semulajadi, perpaduan berbilang bangsa dan agama, pelaksanaan dwi perundangan dan pertumbuhan rancak ekonomi sebagai “The miracle of South-East Asia” menjadi identiti negara ini di kaca mata mereka.

Konklusi

Umumnya, apa saja langkah yang kita ambil dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan pelaksanaan undang-undang Islam yang akan menjenamakan negara di mata dunia, samada sebagai sebuah negara Islam yang menerapkan nilai-nilai Islam semata seperti Turki, Syria dan Maghribi atau menjurus kepada perlaksanaan teras hukum syarak, seperti Afghanistan (sebelum diserang oleh Amerika Syarikat dan sekutunya); ataupun sebagai sebuah negara Islam yang mempunyai haluan dan pengisian tersendiri, namun tidak lari dari batas-batas asal hukum syarak. Semoga Allah bersama kita!

0 comments:

Islamic Collection


Mohd Ridzuan